Kehilangan kuasa Abdul Aziz Al Sa'ud

Ibn Saudi dilahirkan di Riyadh dan merupakan anak kepada Abdul Rahman bin Faisal dan Sara binti Ahmad al-Kabir Sudayri. Pada tahun 1890, semasa berusia sepuluh tahun, Ibn Saud mengikut ahli keluarganya diusir keluar ke Kuwait selepas penguasaan tanah keluarganya oleh golongan Rashidi. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Kuwait dalam keadaan tidak berduit dan berharta.

Pada tahun 1901 semasa berusia 22 tahun, Ibn Saud menggantikan ayahandanya, Abdul Rahman bin Faisal sebagai ketua keluarga dinasti Saud dengan gelaran Sultan Nejd. Beliau kemudiannya memulakan kempen untuk menakluk semula tanah keluarganya daripada golongan Rashidi di mana sekarang merupakan Arab Saudi. Pada tahun 1902, beliau bersama-sama dengan sekumpulan hamba dan saudaranya berjaya menakluk Riyadh dengan hanya bersama-sama 22 orang dengan membunuh gabenor Rashidi di situ.

Dalam masa dua tahun selepas berjaya menawan Riyadh, Ibn Saud berjaya menguasai separuh daripada Nejd. Bagaimanapun pada tahun 1904, golongan Rashidi meminta bantuan daripada Empayar Turki Uthmaniyyah untuk mengalahkan golongan Saud (Keluarga Diraja Saudi). Empayar Uthmaniyah menghantar tentera ke Tanah Arab dan ini menyebabkan kekalahan golongan Saud pada 15 Jun 1904. Tetapi setelah tentera Uthmaniyah berundur kerana masalah tertentu, golongan Saud berjaya mengumpul kembali kekuatannya.

Pada tahun 1912, Ibn Saud berjaya menguasai Nejd dengan bantuan golongan Wahabbi. Semasa Perang Dunia I, Ibn Saud memihak kepada British memandangkan golongan Rashidi merupakan sekutu Empayar Uthmaniyah yang merupakan musuh British. Pada tahun 1922 golongan Saud berjaya menewaskan golongan Rashidi dan ini menamatkan penguasaan golongan Rashidi di Tanah Arab.

Pada tahun 1925, golongan Saud berjaya menawan Kota Suci Makkah daripada Shariff Hussein ibn Ali. Pada 10 Januari 1926, Ibn Saud ditabalkan menjadi Raja Hijaz di Masjidil Haram, Makkah.

Pada tahun 1932, setelah menguasai sebahagian besar Semenanjung Arab daripada musuh-musuhnya, Ibn Saud menamakan tanah gabungan Hijaz dan Nejd sebagai Arab Saudi. Beliau kemudiannya menabalkan dirinya sebagai Raja Arab Saudi dengan sokongan pihak British